Underwater World Langkawi

Underwater World Langkawi adalah sebuah tempat yang luas dengan banyak bahagian berasingan yang khusus untuk setiap kategori. Bahagian tersebut terbahagi kepada hutan hujan tropika, terumbu karang, air tawar, hidupan laut, Sub Antartika, iklim sederhana dan terarium, kolam koi dan memerang. Underwater World menempatkan lebih daripada 4,000 spesis berlainan hidupan laut.

Bahagian hutan hujan tropika membawa pengunjung ke satu pengembaraan ke tengah-tengah Sungai Amazon. Pengunjung akan dapat melihat penghuni hutan hujan seperti swan, burung flamingo dan itik mandarin yang lincah. Burung darat dan burung terbang mengepak-ngepak dengan bebas dalam persekitaran yang hampir menyerupai habitat semula jadinya. Antara ikan tropika yang dipamerkan di sini adalah Pacu, Knifefish, Temoleh, Kalui dan pelbagai spesis ikan Kelisa (Arowana). Pengunjung juga berpeluang melihat Anakonda Hijau yang beratnya 250 kg dan Kapibara iaitu roden terbesar di dunia.

Bahagian air tawar mempamerkan pelbagai jenis ikan dan hidupan akuatik air tawar lain dari Asia Tenggara, Amazon, Afrika dan Australia. Banyak bentuk hidupan unik boleh didapati di sini seperti Jerung Bala, Ikan Duri, Kura-Kura Matamata, Ikan Jarum (Garfish) dan Ikan Pari. Saksikan ikan-ikan ini berenang dalam kumpulan sambil mengikut pergerakan jari anda. Pengunjung juga akan dapat melihat koleksi Penyu eksotik, Buaya Kakap, Kura-Kura Brazil (Red-eared Slider) dan kura-kura Albino. Ikan Arapaima merupakan antara ikan air tawar terbesar di dunia yang boleh membesar sehingga 2.5 meter, dan boleh didapati di sini juga.

Bahagian hidupan laut mengandungi Tangki Heksagon, Tangki Terowong dan banyak tangki lebih kecil. Antara hidupan akuatik yang terdapat dalam Tangki Heksagon 70,000 liter tersebut ialah ikan kupu-kupu Pakistan dan ikan Kakap Madras. Terokai pengalaman laut dalam dengan berjalan di sepanjang terowong sejauh 15 meter. Rasai seperti anda sedang berada di tengah-tengah lautan apabila anda memandang ke kanan, kiri dan atas untuk melihat jerung, ikan pari gergasi, penyu hijau dan ikan kerapu gergasi hidup bersama dan berenang dengan aman. Terdapat beberapa tangki juga yang menempatkan Naga Laut, ikan Singa, Kerang Gergasi, Ikan Buntal, Animon Laut, Umang-Umang (Hermit Crabs), dan banyak lagi.

Bahagian terumbu karang adalah taman bawah air dengan biasan spektrum warna yang menawan. Kerang Gergasi, ikan Pepatung dan ikan Wrasse hidup bersama dengan jutaan hidupan laut dan terumbu karang. Saksikan khazanah kehidupan dalam ekosistem yang terjalin rapi di laut, semuanya di dalam satu bangunan. Obor-obor, landak laut, lintah bulan laut dan tapak sulaiman adalah antara yang dipamerkan di Underwater World Langkawi.

Haiwan menarik dan lincah seperti anjing laut berbulu, penguin Rockhopper dan penguin Afrika boleh didapati di bahagian Sub Antartika dan Iklim Sederhana. Lihatlah penguin Rockhopper yang melucukan melompat dari batu ke batu dan kagumilah bulu kuning cerahnya yang membentuk bulu kening yang menonjol dari sisi kepalanya. Penguin Afrika mempunyai jalur dan tompok hitam pada dada yang unik kepada setiap penguin, sama uniknya seperti cap jari manusia. Anjing Laut Berbulu Selatan boleh dilihat menghabiskan banyak masa membersihkan diri dan boleh melakukan banyak lagak gaya, termasuk melambaikan kedua-dua sirip belakang. Saksikan haiwan ini melakukan banyak telatah yang menghiburkan semasa waktu makan.

Kolam Koi di bina serba indah dalam persekitaran tropika yang cerah dengan bunyi deruan air terjun yang menyamankan. Ikan seperti Ikan Gem Timur, Ikan Kap Jepun, ikan duri tempatan, ikan Silver Dollar, ikan Sebarau, ikan Kelah dan ikan Siklid boleh dilihat di sini. Aktiviti yang menarik untuk pengunjung ialah memberi makan kepada ikan yang akan mengerumuni anda untuk mendapatkan makanan.

Satu lagi kegemaran dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa boleh didapati di tasik memerang. Memerang ini popular disebabkan oleh rupanya yang comel dan lagak gayanya yang manja. Saksikan memerang makan makan dan membuat persembahan, dan alamilah kemeriahan yang menyeronokkan.

Lebih kurang sepuluh minit dari resort.